/>
Jangan Tampilkan Lagi Ya, Saya Mau!
Beli Buku

Raja Ali Haji – Sasterawan Riau Berjiwa Ulama’

Oleh: Muhammad Khairool Haque

“Yang kita pegang selama-lama ini, biarlah kita jadi orang miskin atau jadi orang kecil asalkan jangan kita cacat kepada agama atau nama. Kerana apabila orang-orang tiada memeliharakan yang dua perkara itu, tiada guna panjang umur di dalam dunia kerana sama juga dengan binatang.” Surat Raja Ali Haji kepada Von De Wall.

Raja Ali Haji terkenal sebagai seorang sasterawan. Gurindam Dua Belas yang ditulisnya masih lagi dibaca dan dinikmati sebagai karya yang mengandungi pesan moral yang tinggi. Karyanya menjadi bahan materi bagi pembelajaran sastera Melayu lama di universitas Singapura dan Malaysia. Namun, sosok sasterawan ini bukan sekadar seseorang yang bijak menulis dengan kata-kata yang indah. Bahkan, beliau seorang ulama’ yang memuatkan mutiara-mutiara keilmuan agama dalam karya tulisnya dengan pendekatan yang kreatif dan sesuai dengan khayalak pembaca pada zamannya.

Dilahirkan daripada keluarga istana Kesultanan Riau-Lingga, tidak begitu jelas tarikh kelahiran beliau. Menurut Van Putten, Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1809. Ini berdasarkan keterangan Raja Ali Haji sendiri dalam kitab Tuhfat an-Nafis yang menyatakan bahawa beliau menunaikan ibadah haji ketika umur 19 tahun pada tahun 1828.[1] Ibunya bernama Encik Hamidah binti Panglima Malik Selangor yang berasal daripada kerabat Kesultanan Selangor. Ayahnya pula bernama Raja Ahmad bin Raja Haji Fisabilillah bin Oku Daeng Celak iaitu berasal usul daripada keturunan Bugis.

Perjuangan Raja Ali Haji menerima pengiktirafan daripada pemerintah Indonesia pada tahun 2004[2] apabila beliau diangkat sebagai Pahlawan Nasional Indonesia. Sebelumnya, kakeknya yang masyhur dikenali sebagai Raja Haji Fisabilillah telah lebih dahulu diangkat sebagai Pahlawan Nasional Indonesia pada tahun 1997[3]. Kakeknya ini terlibat dalam perang melawan Holanda dan terkenal sebagai seseorang yang akrab dengan kitab Dalail al-Khairat karangan Imam Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli yang merupakan amalan selawat. Perihal kakeknya ditulis oleh Raja Ali Haji dalam kitab Tuhfat al-Nafis.

Maka di dalam hal itu, tiada juga mensia-siakan wiridnya dan tiadalah ia berhenti membaca selawat Dalail al-Khayrat dan tiadalah lepas daripada tangannya di dalam hal itu. Maka pada malam Jumaat tiada juga ia berhenti maulud al-Nabi Muhammad salllallahu alaihi wa sallam sebagaimana kedudukan orang yang tiada dalam kesusahan demikianlah adanya. [4]

Kewafatan kakeknya juga merupakan kisah yang sering diulang-ulang dalam mengungkapkan peranan penting Dalail al-Khairat dalam kehidupan beliau.

Beli Buku

Syahadan adapun Holanda-Holanda ada juga yang mati dalam perang itu ada kira-kira tujuh puluh orang lebih kurang sedikit dan tiga orang besarnya yang mati di dalam beramuk-amukan itu. Maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun bangkut menghunus badiknya sebelah tangan memegang Dalail al-Khayrat. Maka dipeluk oleh beberapa orang maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun kenalah peluru baris senapang.[5]

Maka tidak hairanlah daripada keturunan Raja Haji Fisabilillah, lahir cucunya, seorang tokoh ulama’ agung yang bernama Raja Ali Haji, yang turut menjadi pengamal kitab Dalail al-Khairat yang berkat ini.

Pendidikan

Raja Ali Haji menerima pendidikan daripada ayahnya dan pembelajaran di istana Riau. Pada ketika itu, sudah terdapat kesedaran terhadap agama dalam kalangan ahli istana. Menurut Abu Hasan Shams, antara kitab yang diajarkan di Riau ketika itu ialah Mir’at al-Tullab karangan Shaykh Abdul Rauf al-Singkel[6]. Raja Ali Haji juga telah mengikuti ayahnya menunaikan haji ketika usia beliau 19 tahun. Sebagaimana biasanya keadaan ketika menunaikan haji pada ketika itu, ia juga peluang untuk menuntut ilmu di Mekah. Di Mekah, Raja Ali Haji sempat belajar dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani (w. 1265H) dan bersahabat dengan anak kepada Shaykh Arshad al-Banjari iaitu Shaykh Shihab ul-Din bin Shaykh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari.[7]

Tariqah Naqsyabandiah

Raja Ali Haji dikenali sebagai seorang pengamal tariqah Nasyabandiah-Khalidiah yang dipelajari daripada ulama’ asal Minangkabau yang bernama Shaykh Ismail Al-Khalidi Al-Minangkabawi. Shaykh Ismail Al-Minangkabawi telah mempelajari tariqah ini daripada Shaykh Abdullah Afandi Al-Khalidi yang menerimanya daripada Shaykh Khalid Al-Uthmani Al-Kurdi. Daripada Shaykh Khalid inilah silsilah tariqah Nasybandiah ini dinisbahkan juga dengan Khalidiah yang sehingga kini masyhur tersebar di seluruh pelosok Nusantara.

Maka apabila berjumpa Yang Dipertuan Muda itu, maka lalulah dibawanya Tuan Syeikh Ismail itu ke darat, didiamkannya pada tempatnya di dalam makhamah itu. Maka berhimpunlah segala anak-anak raja serta orang besar tiap-tiap hari bertanyakan segala hukum sah, batalnya dan halal haram. Apalagi saudaranya, Engku Haji Abdullah serta Engku Haji Ali mengajilah ia beberapa kitab yang simpan seperti Tarekat Muhammadiyyah[8] dan kitab faraid (dan) matan Sanusi[9], dan lainnya sedikit-sedikit sebab waktu singkat. Kemudian Yang Dipertuan Muda pun mengambillah ia tarekat Nasyabandiyyah, serta segala anak-anak raja-raja yang di dalam Pulau Penyengat itu serta masuk suluk. Maka tiap-tiap hari Jumaat dan hari Selasa tawajuh khatam dan sembahyang berjemaahlah pada tiap-tiap hari beramai-ramai. [10]

Shaykh Ismail Al-Khalidi bukan sekadar seseorang yang mahir dalam ilmu tasawwuf. Malah, beliau juga seseorang yang faqih dan alim dalam ilmu usuluddin. Karangan beliau termasuk Kifayatul Ghulam Fi Bayani Arkan il-Islam wa Syurutihi dan Risalah Muqaranah Urfiyah, Tauzi’iyyah dan Kamaliyah. Kedua-dua kitab ini merupakan kitab yang membahaskan ilmu fiqih. Selain itu, Shaykh Ismail Al-Khalidi turut menulis kitab bertajuk Muqaddimat al-Kubra. Kitab ini merupakan kitab aqidah yang mengambil perbahasan daripada kitab-kitab syarah bagi Umm ul-Barahin.[11]

Beli Buku

Namun, sejarah turut mencatat bahawa Shaykh Ismail Al-Khalidi ini menjadi sasaran Shaykh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi yang telah menghasilkan beberapa tulisan yang mengkritik Tarekat Naqsyabandiah-Khalidiah ini dan menganggap beberapa ritual yang diamalkan tariqah ini sebagai bid’ah. Selain Shaykh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi, tokoh yang giat mengkritik tariqah ini ialah bapa kepada Buya Hamka iaitu Shaykh Abdul Karim Amrullah. Tariqah ini juga telah menerima kritikan daripada Sayyid Uthman bin Yahya al-Betawi. Namun, kritikan mereka ini telah dibalas oleh para pengamal tariqah ini termasuk mereka yang dahulunya merupakan murid kepada Shaykh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi sendiri.[12]

Sanad Tariqah Raja Ali Haji

Raja Ali Haji bin Raja Ahmad bin Raja Haji Fi Sabilillah menerima tariqah ini daripada (1) Shaykh Ismail bin Abdullah al-Khalidi Al-Minangkabawi menerima daripada (2) Shaykh Abdullah Afandi menerima daripada (3) Maulana Shaykh Khalid al-Uthmani al-Kurdi menerima daripada (4) Shaykh Abdullah al-Dehlawi menerima daripada (5) Shaykh Habibullah Syamsuddin Jaan Janani al-Muzhhar menerima daripada (6) Sayyid Nur Muhammad al-Bandawani menerima daripada (7) Hazrat Saifuddin menerima daripada ayahnya (8) Shaykh Muhammad al-Ma’sum menerima daripada ayahnya al-Imam al-Mujaddid Shaykh Ahmad Faruq Al-Sirhindi menerima daripada (10) Shaykh Muhammad Baqibillah menerima daripada (11) Maulana Khajakil Amkani menerima daripada (12) Muhammad Khawaja al-Amkanki menerima daripada ayahnya (13) Shaykh Darwisy Muhammad menerima daripada paman sebelah ibunya (14) Shaykh Ubaydullah Al-Ahrar menerima daripada (15) Shaykh Yaqub al-Charchi menerima daripada (16) Khawaja Alauddin al-BukhariaAl-Attar menerima daripada (17) Khawaja Muhammad Bahauddin Shah Naqsyaband menerima daripada (18) Sayyid Amir Kulai menerima daripada (19) Shaykh Muhammad Baba As-Samasi menerima daripada (20) Imam Ali al-Ramitani menerima daripada (21) Khawaja Mahmud al-Anjir  Al-Faghnawi menerima daripada (22) Shaykh Arif Al-Riwakri menerima daripada (23) Khawaja Abdul Khaliq al-Ghujadawani menerima daripada (24) Shaykh Yusuf al-Hamdani menerima daripada (25) Shaykh Abu Ali al-Farmadi menerima daripada (26) Shaykh Abu Hasan Ali al-Kharqani menerima daripada (27) Sultan ul-Auliya’ Abu Yazid al-Bistami menerima daripada (28) Imam Ja’far al-Sadiq menerima daripada (29) Shaykh Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakar menerima daripada (30) Sayyidina Salman Al-Farsi menerima daripada (31) Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq menerima daripada  (32) Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam.[13]

Kegiatan

Raja Ali Haji bertugas sebagai penasihat kepada saudaranya yang diangkat sebagai Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali. Pada zamannya, dia berjaya melakukan beberapa perubahan dalam meningkatkan kesedaran agama di Riau. Antaranya, kegiatan ilmu semakin rancak dengan Raja Ali Haji ditugaskan untuk mengundang ulama’ seperti Sayyid Abdullah Bahrain dan selainnya. Pegawai negeri pada ketika itu disuruh untuk menuntut ilmu agama dan belajar memperbaik bacaan Al-Quran. Selain itu, kegiatan berjudi dan menyabung ayam dilarang. Kegiatan lain yang melalaikan dan menjadi fitnah kepada anak muda juga dihalang oleh Yang Dipertuan Muda Raja Ali.

Selain itu, Raja Ali Haji juga merupakan antara guru yang mengajar agama. [14] Antara murid beliau ialah Raja Abdullah bin Raja Jaafar yang telah mempelajari kitab Ajurrummiyah, Umm al-Barahin dan syarahnya, Jawharat al-Tawhid serta syarahnya, Bidayat al-Hidayah dan Minhaj al-Abidin karangan Imam al-Ghazali serta sebahagian besar daripada Alfiyah Ibn Malik.[15] Raja Abdullah juga mempelajari ilmu fiqh daripada Raja Ali Haji tetapi tidak dinyatakan kitabnya. Selain kitab-kitab yang disebut, Raja Ali Haji juga mengajar kitab Ihya Ulumuddin selain menjadi imam dan membaca khutbah bagi solat Jumaat.[16]

Raja Ali Haji turut menjawab pertanyaan agama daripada masyarakat beliau. Dalam suratnya kepada sahabatnya, Von Der Wall, beliau menyatakan bahawa beliau ingin meminjam kitab Fatawa Ramli yang dimelayukan oleh Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani (w. 1265H).

Dan lagi kita nyatakan kepada sahabat kita, jika jadi kemudahan kepada sahabat kita, adalah hendak meminjam kitab Fatawa Ramli yang dimelayukan Sheykh Daud, barang sehari dua kita kirimkan kembali. Sebab ada perkara masalah orang yang hilang padahal bininya  tinggal maka ia hendak bersuami lain, itulah masalahnya hendak dilihat.[17]

Beli Buku

Kitab yang ingin dipinjam oleh Raja Ali Haji merupakan kitab yang bertajuk Furu’ al-Masail wa Ushul al-Wasail tulisan Shaykh Daud ibn Abdullah Al-Fatani. Kitab ini merupakan kitab dalam Bahasa Melayu yang ditulis dengan merujuk kepada kitab Fatawa Syams al-Millah wa al-Din oleh Imam Muhammad al-Ramli (w. 975H) dan Kasyf al-Litham ‘an Asilah al-Anam oleh Shaykh Hussain bin Muhammad al-Mahalli[18] (w. 1170H). Dapat dilihat kitab rujukan Fiqh dalam mazhab Shafi’i yang dijadikan rujukan Raja Ali Haji dalam memberikan fatwa atau jawapan bagi masalah yang dihadapi masyarakat sekitarnya.

Keturunan

Kemampuan menghasilkan penulisan tidak hanya terhenti pada Raja Ali Haji. Banyak dalam kalangan keturunan beliau menjadi penyair atau penulis yang meneruskan kegiatan intelektual di saat kekuatan kekuatan politik Kerajaan Johor-Lingga semakin menipis dihimpit oleh kuasa Belanda. Anak perempuannya yang bernama Raja Kalsum merupakan penulis syair yang bertajuk Syair Saudagar Bodoh dan seorang anak perempuannya bernama Raja Safiah pula menulis Syair Kumbang Mengindera.[19] Anak lelakinya yang bernama Raja Hasan pula menulis Syair Burung[20].

Antara cucu Raja Ali Haji yang banyak menabur bakti dalam bidang penulisan ialah Raja Umar bin Hasan bin Ali Haji (w. 1347H). Beliau merupakan pengurus Mathba’ah Al-Ahmadiah di Singapura yang banyak menerbitkan karya tulis. Selain menjadi penerbit, Raja Umar juga menghasilkan karya beliau sendiri. Antara yang diterbitkan ialah buku bertajuk Ibu Di Dalam Rumah yang merupakan manual bagi seorang perempuan dalam penjagaan dirinya dan pendidikan anaknya. Raja Umar ini juga mendapat pendidikan di Mekah dan belajar kepada Shaykh Muhammad Nur Bin Ismail al-Minangkabawi. Beliau ialah anak kepada Shaykh Ismail Al-Khalidi al-Minangkabawi yang menjadi mursyid tariqah yang diikuti datuknya. Selain itu, Raja Umar turut belajar kepada ulama’ Fatani yang masyhur dengan penulisan kitab Faridat al-Faraid dan Tashil Nayl al-Amani iaitu Shaykh Ahmad Fatani. Atas usaha Raja Umar ini, karangan Raja Ali Haji yang sebelum ini belum diterbitkan, Kitab Pengetahuan Bahasa diterbitkan.[21]

Seorang lagi cucu beliau yang juga merupakan murid kepada Shaykh Ahmad al-Fatani ialah Raja Ahmad bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji. Beliau merupakan seorang tabib yang mewarisi ilmu perubatan daripada Shaykh Ahmad al-Fatani dan menulis Rumah Ubat di Pulau Penyengat.[22]

Seorang lagi cucu Raja Ali Haji yang terkenal sebagai pengarang ulung ialah Raja Aisyah bte Raja Sulaiman bin Raja Ali Haji. Beliau menulis beberapa karya seperti Syair Khadamuddin, Hikayat Syariful Akhtar, Syair Seligi Tajam Bertimbal dan Hikayat Syamsul Anwar.

Sebahagian Karya Tulis Raja Ali Haji

Raja Ali Haji merupakan seorang ulama’ yang prolifik pada zamannya. Karya tulisnya banyak merangkumi penulisan syair dan juga prosa. Selain penulisan tentang keagamaan, beliau juga menulis tentang sejarah dan bahasa Melayu.

Beli Buku
  1. Syair Gemala Mestika Alam

Syair ini mempunyai 12 fasal yang merangkumi 102 rangkap dengan setiap rangkap mempunyai 4 baris. Syair ini sebenarnya sebuah karya genre maulid yang dikarang dalam bentuk puisi. Ia bermula dengan membicarakan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam berada dalam kandungan ibunya, Sayyidatina Aminah.

Raja Ali Haji turut menulis tentang keharusan melalukan acara maulidan dalam syair ini.

Kerana di beberapa negeri yang besar

Mengerjakan maulud Sayyid al-Basyar

Tiada ada ulama’ yang ingkar

Kerana adat hasanah yang benar. [23]

Syair ini ditamatkan dengan permohonan syafaat kepada baginda sallallahu alaihi wa sallam.

Ayuhai Nabi kami Muhammad

Beli Buku

Tuan hambalah Nabi kasihkan umat

Syafaatkan kami Hari Kiamat

Daripada huru-hara yang amat azmat. [24]

  1. Gurindam Dua Belas

Gurindam Dua Belas ialah puisi berbentuk gurindam yang mempunyai dua belas fasal. Berkenaan gurindam, ia merupakan genre puisi lama. Gurindam Dua Belas dinamakan demikian kerana ia mempunyai dua belas fasal. Fasal pertama membicarakan tentang tauhid, fasal kedua tentang ibadah, fasal ketiga dan seterusnya membicarakan ilmu tasawwuf atau akhlak. Antara yang dinyatakan Raja Ali Haji dalam gurindam ini:

Hati itu kerajaan di dalam tubuh

jikalau zalim segala anggota pun roboh.

            Gurindam ini menampakkan keprihatinan Raja Ali Haji terhadap akhlak dan adab masyarakatnya. Beliau bukan hanya prihatin tentang melakukan ibadah tetapi juga bagaimana ibadah itu memberi kesan dalam membentuk keperibadian yang luhur sebagaimana yang diajar oleh para ulama’ sufi.

  1. Syair Siti Siyanah

Tajuk penuh karya ini ialah Syair Siti Siyanah Sahibah  al-‘Ulum wa al-Amanah. Tulisan berbentuk syair naratif ini menonjolkan dua watak utama iaitu Siti Siyanah dan Siti Diyanah yang berdialog tentang ilmu yang diperlukan oleh seorang wanita. Syair yang mengandungi lebih daripada 500 rangkap yang mengandungi 4 baris setiap rangkap bermula dengan membicarakan perihal wudhu’ sebagaimana kebiasaan kitab-kitab fiqih dan diakhiri dengan perbahasan ilmu tasawwuf termasuk sifat-sifat mazmumah seperti tamak dan ujub serta adab terhadap ibu bapa dan selainnya. Contohnya, bagi perbahasan haidh, Raja Ali Haji menulis:

Beli Buku

Sekurang-kurangnya sehari semalam

Banyaknya lima belas hari dan malam

Pertengahannya itu ghalib dan am

Enam tujuh hari tetaplah kalam. [25]

Melalui karya ini, Raja Ali Haji menunjukkan urgensi kaum perempuan mempelajari ilmu fardhu ain bagi melakukan ibadah dan keilmuan tersebut tidak hanya berlegar dalam kalangan kaum lelaki sahaja.

  1. Syair Suluh Pegawai

Syair ini juga dikenali sebagai Syair Hukum Nikah. Ia merangkumi ilmu yang perlu dimiliki oleh seorang lelaki yang ingin berkahwin iaitu hukum-hukum berkenaan nikah dan penceraian. Di dalamnya juga Raja Haji Ali menyelitkan nasihat kepada suami dalam memakmurkan perkahwinan. Seperti Syair Siti Siyanah, syair ini turut menunjukkan kemahiran Raja Ali Haji dalam ilmu fiqh serta kemampuan beliau menyampaikan mutiara-mutiara fiqh dalam bentuk yang kreatif.

  1. Kitab Pengetahuan Bahasa

Karya ini diterbitkan oleh Ahmadiah Press, Singapura pada tahun 1345H/1927M. Berbeza dengan kamus biasa yang hanya mengandungi makna bagi perkataan yang disenaraikan, Kitab Pengetahuan Bahasa berbentuk semacam ensiklopedia yang mengandungi cerita, syair dan nasihat yang membantu pembaca memahami makna sesuatu perkataan dengan lebih detail. Raja Ali Haji memulakan kamus ini dengan memberikan penjelasan ringkas tentang tatabahasa Melayu.

Kemudian, Raja Ali Haji mulakan penjelasan makna perkataan dalam kamus ini dengan tujuh perkataan yang bermula dengan Alif iaitu Allah, Alif Al-Nabi – Ahmad, Alif Ashab yang merujuk kepada sahabat Nabi  Muhammad sallallahu alaihi wa sallam, Alif Ahbar yang merujuk kepada ulama’, Alif Insan yang merujuk kepada manusia, Alif Al-Awwali yang merujuk kepada dunia dan akhir sekali Alif Akhirat.

Beli Buku
  1. Bustan ul-Katibin

Tajuk penuhnya ialah Bustan al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin (Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-Kanak yang Hendak Belajar). Kitab ini ialah karangan awal tentang bahasa Melayu yang merangkumi ilmu tatabahasa dan penulisan. Kitab ini menunjukkan keprihatinan Raja Ali Haji terhadap bahasa dan tata penulisan yang tepat.

  1. Tuhfat ul-Nafis

Kitab ini merupakan karangan yang mengisahkan sejarah kesultanan Melayu, yang bermula dengan kisah Sang Nila Utama daripada Palembang mengasaskan kerajaan di Singapura hingga ke zaman Raja Ali Haji melalui kerajaan Riau-Lingga. Menurut pengkaji kitab ini, asalnya kitab ini ditulis oleh bapanya, Raja Ahmad lalu penulisan tersebut disempurnakan oleh Raja Ali Haji dengan penambahan beberapa bab.

  1. Kitab Salasilah Melayu-Bugis dan Sekalian Raja-Rajanya

Kitab ini juga merupakan kitab sejarah yang mengisahkan tentang asal-usul raja-raja Bugis, pergolakan politik dan hubungannya dengan Riau.

  1. Thamarat ul-Muhimmah

Nama lengkap karya ini ialah Thamarat ul-Muhimmah Diyafah li l-Umara’ wa l-Kubara’ li Ahl al-Mahkamat (Buah-buahan yang dicita-cita hal keadaan jadi jamuan bagi raja-raja dan bagi orang-orang besar yang mempunyai pekerjaan di dalam tempat berhukum). Kitab ini membicarakan tatacara pentadbiran negara dan berisi nasihat buat pemimpin.

Kewafatan

Raja Ali Haji wafat di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1873 M. Pada diri beliau ditemukan sosok yang mampu menggabungkan keilmuan dalam bidang agama, sejarah dan sastra. Ini menjadikan beliau tokoh yang unik dan istimewa dalam kalangan tokoh-tokoh ulama’ Nusantara.

 

Daftar Rujukan

Beli Buku

[1] Van Putten & Azhar, Dalam Berkekalan Persahabatan, 16

[2] Mirnawati.  Kumpulan Pahlawan Indonesia Terlengkap, 278

[3] ibid, 32.

[4] Raja Ali Haji. Tuhfat al-Nafis, 237

[5] ibid. 239

[6] Abu Hassan Sham. Puisi-Puisi Raja Ali Haji, 6

[7] Wan Saghir. dalam Pengenalan Tsamaratu’l Muhimmah, 2

[8] al-Tariqa al-Muhammadiyya karangan Imam Muhammad ibn  Pir Ali Birgivi (w. 981H). Kitab ini ada diberi syarah oleh Shaykh Abd al-Ghani al-Nablusi yang bertajuk al-Hadiqah al-Nadiyyah (w. 1143H)

Beli Buku

[9] Umm ul-Barahin tulisan Imam Yusuf al-Sanusi (w. 940H). Kitab ini masyhur diajar di Nusantara dan telah diterjemahkan dan disyarahkan oleh ulama’ Nusantara seperti Shaykh Muhammad Zayn bin Faqih Jalaluddin al-Asyi dengan tajuk Bidayat al-Hidayah dan Siraj al-Huda oleh Shaykh Muhammad Zainuddin Bin Muhammad Badawi al-Sumbawi.

[10] Raja Ali Haji. Tuhfat al-Nafis, 435

[11] Rujuk no. 7

[12] Wan Saghir, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi, 56-57.

[13] Berdasarkan Wan Saghir, hlm. 15-16 dengan sedikit pembetulan ejaan menurut Naqshbandi Sufi Way: History and Guide of the Saints of the Golden Chain oleh Shaykh Muhammad Hisham Kabbani

[14] Raja Ali Haji. Tuhfat al-Nafis, 432-433

[15] ibid. 411

[16] ibid. 456

Beli Buku

[17]  Van Putten & Azhar, Dalam Berkekalan Persahabatan, 52

[18] Berbeza dengan penulis syarah bagi Minhaj ul-Talibin bertajuk Kanz ul-Gharibin yang bernama Imam Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad al-Mahalli (w. 864H)

[19] Abu Hassan Shams, Syair-Syair Raja Ali Haji, 78

[20] ibid. 70

[21] Wan Saghir, Raja Umar Hasan Mudir Mathba’ah Ahmadiah Pertama. Utusan Malaysia.

[22] Wan Saghir, Koleksi Ulama’ Nusantara (Jilid 2). Khazanah Fathaniyah. 2009

[23] Abu Hassan Sham. Puisi-puisi Raja Ali Haji, 456

[24] ibid. 457

Beli Buku

[25] ibid. 379

Share:
Beli Buku
Avatar photo

Ulama Nusantara Center

Melestarikan khazanah ulama Nusantara dan pemikirannya yang tertuang dalam kitab-kitab klasik

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *